Masih ada ruang BN jalin kerjasama politik PRN Sabah

Masih ada ruang BN jalin kerjasama politik PRN Sabah

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu diperkukuhkan terlebih dahulu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 di Sabah, tahun ini.  

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan kerjasama BN, PH serta gabungan parti-parti lain dan menyerahkan kebijaksanaan kepada kepemimpinan BN Sabah membuat keputusan. 

“Saya menyerahkan kebijaksanaan kepada kepemimpinan BN Sabah dengan panduan daripada BN Pusat bagi mencari jalan paling bijaksana untuk menentukan kesepakatan menjelang PRN Sabah. 

“Prinsip kita tidak menutup pintu serapat-rapatnya atau membuka pintu seluas-luasnya. Masih ada ruang yang luas bagi jalinan kerjasama politik di Sabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan  Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) dan Deklarasi Konvensyen Francais ASEAN (AFC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.   

Baru-baru ini, Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, kerjasama politik antara PH dan BN dalam PRN perlu melibatkan Gabu­ngan Rakyat Sabah (GRS) sebagai formula terbaik bagi mentadbir negeri berkenaan. 

Bagaimanapun, katanya, BN perlu memulihkan hubungan dengan GRS terlebih dahulu sebelum memutuskan soal kerjasama dan pembahagian kerusi. 

Mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Shuhaimi Nasir mengenai BN Sabah akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan baki 33 kerusi kepada PH, beliau berkata, perundingan belum dimuktamadkan.  

“Itu adalah terlalu pramatang untuk dibuat keputusan. Kita akan mengadakan perundingan secara terperinci mengenai pembahagian kerusi DUN yang bakal ditandingi di Sabah kelak,” katanya. 

Disoal kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai keterbukaan parti itu untuk bekerjasama dengan UMNO kerana berkongsi asas ideologi yang sama, Ahmad Zahid menyifatkan gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) bermain kayu tiga.  

“Beliau (Hamzah) mahu mencari satu realiti baharu dengan keadaan rakan kongsi politiknya telah bermain kayu tiga. Saya fikir apa yang pernah berlaku pada UMNO sedang berlaku pada partinya,” jawabnya ringkas.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN