BUTTERWORTH : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan satu cubaan membawa masuk produk ikan sejuk beku yang mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi dan ayam dari China, hari ini.
Jurucakap Maqis negeri berkata, konsainan dagangan itu ditahan di pintu masuk Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini selepas pihaknya berjaya mengesan terdapat maklumat mengelirukan dalam dokumen import barang dagangan tersebut.
“Barangan itu yang diisytiharkan sebagai ‘Frozen Cuttlefish Intestines’ berbentuk sosej sejuk beku, ‘Frozen Cuttlefish Balls, dan ‘Frozen Cuttlefish Tofu’ telah disahkan mengandungi DNA babi dan ayam melalui analisis oleh Jabatan Kimia Malaysia sekaligus bercanggah dengan deklarasi asal dalam dokumen import.
“Sehubungan itu, Maqis terpaksa menyita konsainan dagangan seberat 51.3 tan dengan nilai keseluruhan RM63,534.57 di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengemukakan maklumat palsu, tidak tepat, atau mengelirukan.
“Dalam hal ini, pengimport juga telah dikenakan kompaun dan barangan dagangan tersebut akan dilupuskan mengikut tindakan penguatkuasaan yang diperuntukkan di bawah akta yang sama,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, Maqis akan sentiasa memastikan pengimportan makanan ke dalam negara adalah selamat selain tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran syarat serta cubaan membawa masuk produk makanan yang akan menjejaskan keselamatan dan keterjaminan makanan.-UTUSAN