Mangsa nahas FRU syukur diberi peluang kedua untuk hidup

Mangsa nahas FRU syukur diberi peluang kedua untuk hidup

ZAMRI Hashim menziarahi Sarjan Mohd Parih Ali di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sarjan Mohd. Parih Ali, 44, bersyukur diberi peluang kedua untuk hidup selepas terbabit kemalangan tragis mengorbankan sembilan rakan sekerja di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan minggu lalu.

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Sungai Senam itu berkata, meskipun mengalami kecederaan teruk akibat nahas tersebut, dia bersyukur dipanjangkan usia sekali gus dapat kembali bersama keluarga.

“Hanya tuhan sahaja tahu keadaan saya semasa berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan. Apabila saya dapat balik ke rumah dalam keadaan seperti ini pun saya bersyukur sangat.

“Alhamdulillah, saya masih hidup. Ini adalah peluang kedua untuk saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Parih dan isteri, Rohani Yatim, 45, menerima kunjungan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim bersama Yayasan Ikhlas yang hadir bagi memberi sumbangan kepada mangsa yang terlibat dalam nahas itu.

Menceritakan insiden itu, Mohd. Parih berkata, semasa kejadian dia sedang tidur dan hanya tersedar apabila merasakan tubuhnya ditarik seseorang.

“Keluar sahaja dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, saya terus tidur sebab habis tugas kawalan pun pada pukul 3 pagi dan perlu masuk kerja pada pukul 9 pagi.

“Saya memang tak sedar, bila sudah sedar tengok kawan-kawan tarik. Dalam keadaan patah, saya tak boleh bergerak tetapi saya ingat keadaan semasa diusung dan dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans,” katanya.

Menurut Mohd. Parih, kemalangan itu menjadi peristiwa yang tidak akan dilupakan tambahan lagi ia mengorbankan ramai rakan selain lapan yang lain cedera.

“Dalam keadaan saya begini, saya tidak dapat berjumpa rakan-rakan yang masih dirawat di ICU. Saya cuma berharap dan berdoa agar mereka dapat kuatkan semangat,” katanya.

Sementara itu Rohani berkata, suaminya mengalami pendarahan dalam kepala dan hati, serangan jantung dan jantung bengkak, kecederaan tisu tulang belakang, patah tangan kanan serta cedera di kedua-dua tempurung kaki akibat nahas tersebut.

Katanya, meskipun dibenarkan pulang, suaminya masih perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mengikut jadual diberikan doktor pakar.

“Semasa tiba di Hospital Teluk Intan, saya diberitahu yang suami dalam keadaan kritikal dan tiada harapan tapi saya percaya dia kuat. Saya bisik di telinganya supaya bertahan untuk saya dan anak-anak.

“Sepanjang suami di ICU, ia jadi pengalaman dan tempoh yang sangat mendebarkan tapi saya percaya dan yakin atas doa orang ramai, suami boleh sembuh dan alhamdulillah dia dibenarkan keluar hospital,” katanya.

Tambah guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist di Ipoh itu, Mohd. Parih juga seolah-olah trauma apabila sukar untuk tidur malam.

“Dia tak boleh tidur malam, dia takut kalau dia pejam mata dia tak bangun lagi. Dia tak tidur sampai ke pagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN