Ramadan suram buat balu, anak-anak Allahyarham Koperal Mohd. Pozli

Ramadan suram buat balu, anak-anak Allahyarham Koperal Mohd. Pozli

NUR Azura Ahmad dan anak-anaknya menunjukkan baju Melayu berwarna biru yang tidak sempat dipakai Allahyarham Koperal Mohd. Pozli Jaudin ketika ditemui di Taman Rapat Permai di Ipoh. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ramadan kali ini disambut dalam suasana hiba buat balu dan anak-anak Allahyarham Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan membabitkan trak FRU dan lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei lalu.

Balu Allahyarham, Nur Azura Ahmad, 42, berkata, dia bersama tiga anaknya amat merasai kehilangan arwah sebagai ketua keluarga.

Menurutnya, kenangan Ramadan tahun lalu masih segar dalam ingatan apabila arwah suaminya lebih banyak menumpukan perhatian terhadap ibadah sepanjang bulan mulia itu.

“Sepanjang Ramadan tahun lalu, arwah tidak pernah meninggalkan puasa dan solat tarawih. Dia kerap ke masjid untuk bertadarus al-Quran dan lebih gemar memakai pakaian berwarna putih.

“Saya masih ingat betapa fokusnya arwah dalam beribadah. Kerinduan terhadapnya bagaikan tiada penghujung, lebih-lebih lagi apabila tiba Ramadan,” katanya ditemui di Taman Rapat Permai, di sini.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nur Iliya Irdina, 14; Nur Iliya Zuyyin, 11; dan Nur Iliya Inara, 6.

Nur Azura berkata, meskipun anak-anaknya merindui kasih sayang seorang ayah, mereka semakin menerima hakikat pemergian arwah buat selama-lamanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehelai baju Melayu yang dibeli arwah sempena Aidilfitri tahun lalu masih disimpan sebagai kenangan kerana tidak sempat dipakai.

“Arwah membeli dua pasang baju Melayu pada raya lalu. Sehelai dipakai ketika Aidilfitri, manakala sehelai lagi disimpan kerana mahu memakainya pada raya tahun ini.

“Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam kemalangan pada Mei lalu. Baju Melayu berwarna biru itu masih saya simpan sebagai kenangan,” katanya.

Allahyarham Mohd. Pozli antara sembilan anggota FRU yang maut dalam kemalangan tragis membabitkan trak FRU dan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada 13 Mei tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN