PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa lawatan rasmi beliau ke Rusia bukan membawa maksud Malaysia memihak kepada mana-mana blok kuasa dunia.
Kata Perdana Menteri, hubungan Malaysia dengan Rusia juga tidak menjejaskan persahabatan negara ini dengan Amerika Syarikat dan juga China.
“Hubungan dengan Rusia tidak menjejaskan persahabatan kita dengan Amerika Syarikat, China atau mana-mana rakan dagang lain.
“Malaysia berhak menentukan hala tuju dasar luarnya secara bebas dan berprinsip demi kepentingan rakyat,” katanya menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya hari ini.
Sementara itu, jelasnya, lawatan beliau ke Rusia membawa kejayaan bermakna dalam memperkukuh hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara selain meneroka ruang kerjasama strategik baharu.
Kata Anwar, lawatan beliau itu juga dapat memperluas peranan Malaysia sebagai jambatan antara dunia Islam dan kuasa besar global.
Ujar beliau, pertemuan bersama Presiden, Vladimir Putin membuka pelbagai potensi kerjasama termasuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
“Pertemuan itu turut menyimpulkan penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia, selain menyaksikan dukungan Rusia terhadap kerjasama dalam industri halal dan kewangan Islam.
“Saya amat menghargai hubungan persahabatan yang terjalin dengan Presiden Putin,” katanya.
Anwar berkata, isu insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 turut dibangkitkan dalam pertemuan bersama pemimpin tertinggi Rusia itu.
“Malaysia berpegang teguh kepada prinsip bahawa kebenaran mesti ditegakkan demi keadilan buat mangsa dan keluarga mereka,” tegasnya.
Sementara itu, dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin, Anwar turut membincangkan kerjasama dalam sektor pertanian khususnya melibatkan komoditi koko dan minyak sawit.
Katanya, perbincangan itu turut memfokuskan kepada usaha menyelesaikan isu yang membantutkan kelancaran dagangan dua hala antara kedua-dua negara.
Anwar turut menyertai sesi meja bulat bersama 24 syarikat utama Rusia yang membuka potensi kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk produk berasaskan sawit, industri kimia, perabot, teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
“Minat yang ditunjukkan amat memberangsangkan dan memberi gambaran positif terhadap prospek kerjasama Malaysia-Rusia.
“Di Kazan, saya telah sampaikan ucaptama di Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik “Russia-Islamic World” dan KazanForum. Dalam ucapan itu, saya tegaskan bahawa dunia Islam harus bangkit sebagai kuasa yang membawa keamanan, keadilan dan harapan kepada masyarakat sejagat,” katanya.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Mufti Rusia, Presiden Turkmenistan serta beberapa tokoh utama dunia Islam bagi memperkukuh kerjasama rentas negara dan ummah. – UTUSAN