Teruja bakal mengadakan konsert orkestra pertama pada 12 Julai ini, kumpulan tersohor Indonesia, Ungu mengakui Malaysia mempunyai tempat yang teristimewa di hati mereka.
Kerap bertandang ke sini untuk mengadakan konsert, Ungu menyifatkan setiap sambutan yang diterima saban kali tiba di Malaysia mempunyai kisah manis tersendiri.
Menurut vokalisnya, Pasha, Malaysia sudah dianggap seperti kampung mereka kerana sambutan hangat yang diberikan membuatkan mereka puas untuk melepaskan rindu dan berinteraksi bersama peminat.
“Kami sudah menganggap Malaysia seperti rumah kedua kami. Malah, terasa seperti pulang ke kampung sendiri. Setiap kali berada di Malaysia, sambutannya sentiasa menjadi.
“Pengurusannya juga bagus. Kami berasa puas hati kerana dapat melepaskan rindu lebih-lebih lagi dapat berinteraksi bersama peminat ketika mengadakan konsert.
“Bukan itu sahaja, setiap kali kami mengadakan konsert di Malaysia sejak awal karier kami juga mempunyai cerita tersendiri,” katanya.
Selain Pasha, kumpulan yang bakal mengadakan Konsert 29th Annversary – Symphony of Ungu di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu turut dianggotai Enda selaku pemain gitar, Oncy (gitar), Makki (bes) dan Rowman (dram).
Tambah Pasha, penganjuran konsert Ungu di Malaysia kali ini turut melakar sejarah bermakna buat mereka sepanjang 29 tahun berkarya kerana pertama kali diadakan secara orkestra di bawah bimbingan konduktor muzik, J.P Danny.
“Sejak penubuhan kumpulan ini, kami tidak pernah mengadakan konsert orkestra bahkan di Indonesia sendiri kami tidak pernah melakukannya.
“Kami sangat teruja kerana diberi peluang untuk melakukan konsert orkestra buat pertama kali pada Julai ini yang semestinya memberikan pengalaman yang berbeza buat penonton yang hadir,” jelasnya.
3 DEKAD BERSAHABAT
Hampir 30 tahun mencipta nama bersama, hubungan silaturahim ahli kumpulan tersebut dilihat masih utuh sehingga kini.
Mengakui tidak dapat lari dari sebarang konflik, Pasha atau nama sebenar, Sigit Purnomo Said, 46, berkata, komunikasi menjadi kunci terpenting untuk mereka mengelakkan daripada terus bermasam muka.
“Bergaduh itu sering namun, itu bukan masalahnya. Setiap kali muncul sesuatu perbalahan, cara kami berkomunikasi antara satu sama lain itu yang memainkan peranan yang penting.
“Selain berkomunikasi, cara kami mengendalikan situasi itu juga penting. Setiap kami ada kepentingan masing-masing namun kami perlu menjaganya demi semangat bermuzik,” kongsinya.
Dalam masa sama, vokalis lagu Demi Waktu itu memberitahu Rowman sering menjadi pendamai situasi setiap kali mereka berdepan dengan sebarang konflik.
“Setiap kali konflik berlaku, Rowman sering menjadi pengadil dan penenang situasi. Sekiranya kami berempat ada masalah, Rowman juga yang menemukan jalan penyelesaiannya.
“Dia juga boleh menyelesaikan masalah sendiri. Dia seorang yang berdirikari,” ujarnya.
Lebih intim dan eksklusif, Ungu bakal membawakan sebanyak 17 lagu hits yang sentiasa menyentuh hati peminat setia mereka pada konsert anjuran Apex Venture Global itu nanti.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM288 hingga RM1588.
29th Anniversary – Symphony of Ungu memilih Utusan Malaysia dan Media Mulia dipilih sebagai media rasmi.