KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan melancarkan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita ASEAN di sini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pusat itu merupakan yang pertama di ASEAN, bertujuan memperkasa peranan wanita dalam sektor ekonomi serantau.
“Kita sentiasa terbuka untuk berbincang dan berurusan dengan semua pemegang taruh berkaitan cadangan-cadangan baharu yang boleh menyokong matlamat ini.
“Saya berharap sepanjang hari ini dan esok, perbincangan yang berlangsung akan menghasilkan cadangan-cadangan bernas yang boleh dikumpulkan dan disampaikan kepada semua kerajaan ASEAN, kepada MITI dan kementerian-kementerian berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) di sini, hari ini.
Jelasnya, AWES 2025 menjadi titik penting dalam usaha memperkasakan wanita, belia dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selaras dengan matlamat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Program ini bukan sekadar inisiatif sosial, tetapi objektifnya adalah ekonomi untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi negara dan rantau ASEAN.
“Penekanan diberikan kepada peranan wanita sebagai usahawan dan golongan profesional yang aktif dalam politik dan ekonomi.
“Melalui usaha berterusan, kita berjaya menutup jurang gender dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan sosial,” katanya.
Inisiatif itu diumumkan sempena AWES 2025 yang menghimpunkan lebih 700 peserta dari rantau Asia Tenggara termasuk menteri, ketua syarikat dan penggerak komuniti.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi, Yayasan Kepimpinan Wanita, Datuk Dr. Hafsah Hashim berkata, AWES 2025 bukan sekadar sebuah persidangan.
“Di bawah Kepengerusian Malaysia dan selaras dengan visi Madani, sidang kemuncak ini merupakan satu titik perubahan penting.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah, kita berjaya menghimpunkan barisan kepimpinan pada tahap ini yang memberi tumpuan khusus kepada pemerkasaan ekonomi wanita.
“Dalam tempoh dua hari ini, kami tidak akan sekadar berbincang, malah akan memberikan komitmen (menjayakan agenda itu). Kita tidak sekadar bercita-cita, malah akan bertindak,” katanya. – UTUSAN