KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menerajui penubuhan Majlis Halal ASEAN tahun ini sebagai komitmen melonjakkan kerjasama halal ke tahap yang lebih tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu akan memberikan tumpuan untuk memperkukuh kedudukan produk halal kedua-dua negara di pasaran serantau dan global.
“Majlis ini akan menjadi platform strategik untuk penyelarasan dasar, standard dan piawaian halal negara-negara ASEAN secara sistematik dan inklusif.
“Inisiatif ini akan memastikan ASEAN menjadi peneraju dalam ekosistem halal global dengan piawaian yang diiktiraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan strategik bersama Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, Haikal Hassan Baras bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, hari ini.
Pertemuan itu merupakan kesinambungan daripada lawatan rasmi Ahmad Zahid ke Indonesia baru-baru ini, yang menjadi titik tolak kepada kerjasama baharu yang lebih mendalam antara Malaysia dan Indonesia dalam menerajui pembangunan industri halal serantau.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk membuka laluan kemasukan produk halal dan memperluas pengiktirafan bersama sijil halal.
“Langkah ini akan mewujudkan aliran perdagangan halal yang lebih lancar dan mesra industri, serta menyokong peningkatan perdagangan intra-ASEAN.
“Ia dijangka memberi impak positif terhadap permintaan pasaran halal di ASEAN yang mewakili lebih 700 juta penduduk,” katanya.
Sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), beliau berkata, Malaysia akan terus mempergiatkan usaha kerjasama dalam aspek pensijilan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan tenaga kerja halal.
Katanya, negara turut menyokong penuh program pertukaran kepakaran, latihan bersama dan penyelidikan kolaboratif dalam memperkukuh rantaian nilai halal ASEAN.
“Dengan nilai pasaran halal global yang dijangka mencecah AS$5 trilion menjelang 2030, ASEAN mesti tampil sebagai peneraju ekosistem halal serantau yang saling melengkapi dan berdaya saing.
“Melalui penubuhan Majlis Halal ASEAN, kita akan memastikan ASEAN bukan sahaja menjadi hab halal global yang berdaya saing, inklusif dan mampan, tetapi juga menjadi model dalam memimpin industri halal dunia dengan integriti dan piawaian yang tinggi.
“Kerjasama ini akan menjadi testimoni kejayaan ‘Halal Diplomacy’ yang diperkenalkan oleh Malaysia untuk memperkukuh jenama halal negara di peringkat global,” katanya. – UTUSAN