Majikan pemandu lori nahas FRU bayar ikat jamin hari ini

Majikan pemandu lori nahas FRU bayar ikat jamin hari ini

RAVI (kanan) kepada pemandu lori terlibat kemalangan dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan hadir di Ibu Pejabat Polis (IPD) Perak Tengah di Teluk Intan bagi menyerahkan pakaian kepada pekerjanya yang ditahan. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Majikan kepada pemandu lori terlibat kemalangan dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Selasa lalu akan membayar wang jaminan pekerjanya berjumlah RM6,000 hari ini seperti yang ditetapkan mahkamah.

Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ravi berkata, bayaran ikat jamin tidak dapat dilakukan selepas pekerjanya, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, dituduh di mahkamah pada minggu lalu atas beberapa sebab tidak dapat dijelaskan kepada umum.

Katanya, dia ­sudah memaklumkan kepada mah­kamah akan membayar bayaran ikat jamin pemandunya itu pada Isnin.

“Saya berada di mahkamah semasa dia didakwa pada Jumaat lalu, bukan saya tak mahu bayar ikat jamin dia, tapi ada beberapa sebab yang saya tak boleh beritahu.

“Esok (hari ini) saya akan jamin dia. Perkara ini saya sudah beritahu dia (pemandu lori) dan polis. Sebabnya (tidak bayar ikat jamin Jumaat lalu) saya tak boleh beritahu kerana ia melibatkan Rudi.

“Saya tidak akan lepas tangan dalam perkara ini. Saya akan bantu dia kerana dia pekerja saya. Saya juga akan melantik peguam untuk perbicaraan dia nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika hadir di Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak bagi menyerahkan pakaian kepada Rudi, semalam.

Pekerjanya itu ditahan di lokap IPD tersebut selepas gagal membayar ikat jamin RM6,000 ditetapkan mahkamah selepas didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan Jumaat lalu.

Mengenai kritikan dalam media sosial selepas tiada pihak tampil membayar ikat jamin pekerjanya, Ravi berkata, ia berlaku kerana pihak luar tidak tahu apa yang berlaku.

“Ya saya tengok pelbagai tuduhan dalam media sosial apabila bayaran ikat jamin tidak dijelaskan. Mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

“Memang ada yang menghubungi saya mengaku sebagai saudara kepada pekerja saya dan mahu membantu. Kalau prihatin, kenapa mereka tak datang ke mahkamah semasa pekerja saya didakwa Jumaat lalu?

“Saya juga dengar ada pihak yang buat kutipan untuk bayarkan ikat jamin, jadi saya nak tengok siapa yang datang esok untuk bayarkan ikat jamin dia,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah  di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak pada pukul 9 pagi, 13 Mei 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×