Mahu angkat wanita, bukan sekadar cerita pelacur - Utusan Malaysia

Mahu angkat wanita, bukan sekadar cerita pelacur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Hisyam Hamid, menjelaskan naskhah lakonan terbarunya, Lambaian Huda bukan mahu merendahkan martabat wanita.

Jelas Hisyam atau Hazmi Hisyam bin Abdul Hamid, 39, walaupun watak utama cerita ini adalah seorang wanita yang bekerja sebagai pelacur, namun tiada satu adegan pun menunjukkan dia selesa berada dalam kehidupan serba hitam. 

Mesti ada sebab mengapa seseorang itu memilih jalan begitu. Kita mahu menunjukkan kepada orang bahawa ada masanya kita terperangkap dalam keadaan yang membuatkan kita tidak banyak pilihan. 

“Walaupun niat tidak menghalalkan cara, kita dapat lihat perjalanan karakter utama, Suzie yang sedaya upaya keluar dan selamatkan diri. 

“Ia bukan hanya cerita tentang seorang pelacur, tapi turut diselitkan pemerkasaan wanita. Ada sahaja watak wanita yang sangat menonjol namun kerana pekerjaan mereka begitu, membuatkan dipandang serong,” tambahnya. 

Hisyam mengulas mengenai naskhah wanita yang sering ditonjolkan sebagai individu teraniaya dan ditindas dalam skrin televisyen.

Tambah bintang kelahiran Singapura itu lagi, naskhah terbitan Viu Malaysia itu juga menunjukkan keimanan individu yang beragama teruji selepas mereka keluarga daripada zon selesa. 

“Saya membawa watak sebagai Ustaz Fatih yang membesar di kampung. Rutinnya hanya pergi dan balik surau. 

“Dia berpindah ke Kuala Lumpur kerana mahu mencari adiknya. Di situlah dirinya menghadapi cabaran untuk menyesuaikan diri dengan budaya baru Kuala Lumpur yang lebih terbuka. 

“Pada masa sama, ia menjadi penyelamat mengeluarkan Suzie daripada kehidupannya yang penuh dosa. Percayalah, naskhah ini bukan sahaja menarik tetapi tidak klise dan memberi pengajaran,” tambahnya.

Hisyam ditemui Utusan Malaysia di sesi fotografi sempena drama Lambaian Huda pada Rabu. 

Lambaian Huda mengisahkan Suzie (Siti Hariesa), seorang penyanyi kelab malam yang terjerat dalam hubungan toksik dengan Dato’ Farid (Fauzi Nawawi), seorang lelaki berstatus suami orang. 

Segalanya mula berubah apabila Ustaz Fatih (Hisyam Hamid), seorang pendakwah yang tenang berpindah dan menjadi jiran barunya. Kehadiran Ustaz Fatih membuka ruang untuk Suzie menanam kembali benih keimanan dalam jiwanya.

Drama bersiri 15 episod ini akan ditayangkan di platform Viu bermula 29 Mei. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN