KUALA LUMPUR: Seramai 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan kondominium di Jalan Kuching di sini, hari ini.
Kesemua warga asing berusia 25 hingga 50 tahun itu ditahan dalam Op Gempur Bersasar membabitkan seramai 60 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi dilakukan hasil risikan selama seminggu oleh pihaknya.
Katanya, seramai 200 pekerja warga asing telah diperiksa dalam serbuan tersebut.
“Hasil pemeriksaan, kita menahan 60 PATI yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959.
“Kesemua PATI yang ditahan itu berasal dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan.
Tambah Wan Mohammed Saupee, ketika operasi, pihaknya mengesan beberapa PATI yang cuba melarikan diri serta menyorok di sekitar tapak pembinaan bagi mengelak ditahan penguat kuasa.
“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan melibatkan kecederaan anggota penguat kuasa imigresen dan PATI.
“Kita turut menahan seorang majikan di tapak pembinaan bagi membantu siasatan,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959, Seksyen 15 (1) (c) akta sama dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai pekerja binaan cuba melarikan diri ke kawasan lumpur bagi mengelak diberkas. – UTUSAN