KUALA LUMPUR : Kegiatan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang mendapatkan bayaran sehingga RM500 bagi perkhidmatan seks di pusat hiburan di Desa Sri Hartamas di sini dibongkar dalam serbuan pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Isnin lalu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, menerusi serbuan Op Gegar bermula pukul 10.45 malam itu, seramai 16 individu ditahan iaitu 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta seorang majikan tempatan.
Menurutnya, semakan mendapati PATI terbabit melibatkan 14 wanita iaitu sembilan Indonesia, empat Filipina dan seorang Bangladesh yang disyaki berperanan sebagai GRO manakala seorang lelaki Bangladesh disyaki pekerja premis.
“Siasatan awal mendapati wanita warga asing terbabit dipercayai akan datang kepada pelanggan-pelanggan sebagai peneman berhibur.
“Berdasarkan maklumat awal, tip yang diterima gadis terbabit dikatakan antara RM200 hingga RM500 bergantung layanan diberikan,” katanya di sini.
Tambahnya, dalam serbuan terbabit terdapat beberapa cubaan GRO terbabit melarikan diri selepas menyedari serbuan pasukan operasi JIM.
Katanya, kecekapan pemeriksaan anggota menemukan wanita terbabit bersembunyi di ruangan tandas.
“Antara kesalahan PATI yang dikesan adalah salah guna pas lawatan sosial serta langgar syarat pas,” ujarnya. – UTUSAN










