Lokasi kurang strategik, tiada bekalan elektrik punca 72 MyKiosk ‘kosong’

Lokasi kurang strategik, tiada bekalan elektrik punca 72 MyKiosk ‘kosong’

ANTARA MyKiosk yang belum beroperasi di Gong Badak, Kuala Nerus di Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lokasi kurang strategik dan tiada bekalan air serta elektrik dikenal pasti menjadi faktor 72 unit MyKiosk di negeri ini masih kosong dan tidak dimanfaatkan peniaga.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  sebanyak 362 unit MyKiosk dibina di seluruh negeri ini sejak 2023 dan daripada jumlah itu, sebanyak 290 unit telah disewa.

“Masih ada 72 unit MyKiosk yang kosong dan kita telah mengambil beberapa tindakan termasuk proses pengiklanan dan kelulusan mesyuarat. 

“Kita juga akan mengalihkan MyKiosk yang didapati tidak strategik ke lokasi baharu yang lebih sesuai bagi memastikannya dapat memberi manfaat kepada peniaga kecil,” katanya hari ini.

Program MyKiosk merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menggalakkan pembangunan usahawan mikro dan menyasarkan lebih 7,000 keluarga dapat meningkatkan pendapatan.

Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang meneliti setiap aduan dan mengenal pasti punca MyKiosk tidak digunakan peniaga.

“Berdasarkan aduan yang diterima, kita turut mengenal pasti berapa faktor lain MyKiosk kurang mendapat sambutan termasuk kekangan syarat yang tidak membenarkan penggunaan bahan api di dalam kiosk, kiosk cepat berkarat dan mudah bocor yang menjejaskan perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN