SEREMBAN: Lima sekawan termasuk dua remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan cedera parah ke atas seorang pelajar sekolah dan melakukan rusuhan awal bulan ini.
Kesemua lima tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Tertuduh tersebut ialah Shazrin Shah Mohd. Norazham, 19, Nur Ariq Farhan Ismail, 21, Nur Ezwan Ezanie Rohaizad, 24 dan dua pesalah di bawah umur masing-masing berusia 17 tahun.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh bersama-sama yang masih bebas dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas seorang mangsa remaja lelaki berusia 17 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di Gelanggang Futsal Kampung Sentosa Jaya lebih kurang pukul 11 malam pada 8 Mei lalu.
Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah didenda.
Bagi pertuduhan kedua, di lokasi dan masa yang sama mereka dituduh secara bersama-sama dengan yang masih bebas berhimpun secara berkumpulan menggunakan kekerasan atau keganasan dengan mendatangkan cedera pada mangsa sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Hanif Hassan dan Muhammad Wajih Zakwan turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, P. Rubini menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan manakala bagi pertuduhan Seksyen 147 Kanun Keseksaan jaminan RM6,000 ditawarkan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Razqeeyanur Sarini Salzali yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan rendah mengambil kira pendapatan dan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Jun depan bagi laporan perubatan, serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sebelum ini media melaporkan kejadian tular di media sosial membabitkan mangsa seorang remaja berusia 17 tahun yang mengalami cedera di bahagian muka akibat dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada selisih faham antara mangsa dengan salah seorang suspek yang menyangka mangsa telah mencederakan adiknya.
Susulan kejadian itu, polis menahan 10 lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes serangan ke atas seorang lelaki di Kampung Sentosa Jaya di sini pada 10 Mei lalu. – UTUSAN