KUALA LANGAT: Enam pemandu mengalami detik cemas apabila kenderaan dipandu mereka dilanggar lori treler hilang kawalan dekat Kilometer 32.5, Jalan Klang – Banting, di sini, kira-kira pukul 12.15 tengah hari, semalam.
Kemalangan tersebut dipercayai ketika pemandu sebuah lori treler jenis Nissan berwarna biru itu sedang memandu dari arah Dengkil menghala ke Sungai Buaya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pemandu lelaki berusia 40-an itu berkenaan hilang kawalan lalu melanggar bahagian kanan belakang sebuah lagi lori treler jenis Volvo berwarna merah.
“Pelanggaran tersebut mengakibatkan lori berkenaan bergerak kedepan lalu melanggar bahagian belakang kereta Proton X90 berwarna putih, Proton Persona berwarna hitam, Gen 2 berwarna emas dan Toyota Alphard berwarna hitam.
“Ketika itu Toyota Alphard berkenaan sedang memberi laluan kepada Proton Gen 2 yang sedang masuk ke petak tempat letak kereta di bahu jalan berkenaan. Kedua-dua kereta itu dipandu suri rumah berusia 50-an,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, akibat kemalangan tersebut kesemua kenderaan termasuk lori Volvo terbabit mengalami kerosakan pada bahagian depan dan belakang, namun tidak melibatkan kehilangan nyawa.
“Pemandu lori Nissan dan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan serta saksi bebas sudah pun hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” jelasnya.
Kata Akmalrizal lagi, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Marzol Mohd. Zin di talian 011-18539115 atau 03-31872222. – UTUSAN