Lima bulan tanpa gaji, 61 pekerja diselamatkan - Utusan Malaysia

Lima bulan tanpa gaji, 61 pekerja diselamatkan

NOOR Hisam Nordin ketika Op Pintas Mega Pemerdagangan Orang di sebuah kilang di Pusing, Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Seramai 61 pekerja termasuk enam warga tempatan yang tidak menerima gaji selama lima bulan diselamatkan dalam serbuan di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2 dekat Pusing di sini hari ini.

Serbuan bersepadu itu dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perak (JTKNP) bersama polis Perak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), yang turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun yang juga pengurus dan pengarah urusan syarikat perniagaan berkenaan.

Op Pintas Mega Pemerdagangan Orang itu membabitkan penyertaan kira-kira 96 pegawai penguatkuasa terdiri daripada 83 anggota polis, 10 pegawai JTKNP dan tiga wakil JAS.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 55 warga asing iaitu 14 lelaki Myanmar, sembilan lelaki Nepal dan 32 lelaki Bangladesh termasuk enam rakyat tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

“Siasatan awal mendapati semua mangsa bekerja tanpa menerima gaji selama lima bulan. Kegagalan majikan membayar gaji menyebabkan mereka terpaksa berhutang untuk perbelanjaan harian.

“Mereka terpaksa berhutang dengan pemilik kedai runcit berhampiran untuk perbelanjaan harian seperti makanan.

“Operasi ini merupakan hasil risikan dan maklumat awam yang prihatin terhadap nasib pekerja terbabit,” katanya selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, selain siasatan lanjut mengikut peruntukan Akta Kerja 1955 dan Akta Alam Sekitar berkaitan pengurusan premis dan keselamatan pekerja.

“Buat masa ini, semua mangsa akan ditempatkan di rumah perlindungan di Tanjung Kerling, Melaka bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut oleh pihak JTK.

“Penghantaran ke rumah perlindungan perlu diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak polis,” katanya.

Beliau turut menggesa semua majikan supaya mematuhi undang-undang buruh dan tidak menzalimi para pekerja.

Sementara itu, Pengarah JTKNP, Mohd. Nizar Zakaria berkata, kilang berkenaan disiasat atas pelbagai pelanggaran hak pekerja di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Antara kesalahan utama yang dikesan ialah tiada perakuan penginapan pekerja di bawah Seksyen 24(D) Akta 446.

“Majikan juga didapati melakukan kesalahan seperti lewat bayar gaji (Seksyen 19), gagal melaporkan penggajian pekerja asing (Seksyen 60K), potongan gaji tidak sah (Seksyen 24), tiada kontrak pekerjaan (Peraturan 8), dan buruh paksa (Seksyen 90B),” katanya.

Menurutnya, semua kesalahan itu akan disiasat dengan pembukaan kertas siasatan bagi tujuan kompaun dan pendakwaan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN