PETALING JAYA: Penyanyi, Liam Payne, dilaporkan meninggalkan wang tunai, harta dan aset bernilai lebih RM138 juta selepas meninggal dunia tahun lalu.
Menurut undang-undang, anak-anak akan mewarisi harta pusaka sekiranya tiada pasangan hidup dan tiada peninggalan wasiat.
Sebelum ini, bekas anggota kumpulan popular One Direction itu mempunyai seorang anak lelaki hasil hubungan bersama Cheryl yang dinamakan Bear, kini berusia lapan tahun.
Menurut surat pentadbiran, nilai keseluruhan harta ditinggalkan Payne dianggarkan sebanyak RM163 juta (£28.6 juta) tetapi selepas ditolak hutang dan perbelanjaan, nilai bersihnya adalah RM138 juta (£24.3 juta).
Menurut dokumen mahkamah, bekas kekasihnya, Cheryl Tweedy dan peguam industri muzik, Richard Bray telah dilantik sebagai pentadbir sementara bagi menguruskan harta pusaka tersebut.
“Kedua-dua mereka hanya diberikan kuasa terhad dan belum dibenarkan mengagihkan aset yang ditinggalkan.
“Pelantikan ini bertujuan untuk memastikan harta berkenaan dilindungi sehingga mahkamah mengeluarkan perintah penuh,” katanya.
Terdahulu, penyanyi berusia 31 tahun itu ditemukan mati di sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina pada Oktober tahun lalu.
Laporan bedah siasat menyatakan Payne meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan serta pendarahan dalaman dan luaran selepas terjatuh dari balkoni Hotel Casa Sur.-UTUSAN