KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dijangka didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, esok atas pertuduhan mengugut anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui media sosial membabitkan isu penjaja belon yang tular hujung Mac lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa, berkata, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
“Kes ini melibatkan ugutan yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook terhadap pihak penguat kuasa.
“Pertuduhan dijadual dilakukan di mahkamah esok,” katanya kepada pemberita selepas Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat ‘PPR Bestari’ Tahun 2025 di Dewan Serbaguna Taman Perumahan Desa Rejang, hari ini.
Difahamkan, kes itu membabitkan seorang penjaja dikenali sebagai Muhammad Zaimuddin Azlan atau ‘Abang Belon’, yang mendakwa dikasari anggota penguat kuasa DBKL dalam operasi penguatkuasaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 28 Mac lalu.
Susulan kejadian berkenaan, beberapa laporan polis dibuat termasuk oleh penguat kuasa DBKL yang mendakwa menerima ugutan menerusi platform media sosial.
Polis membuka siasatan mengikut Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menyiasat bentuk dan kandungan ugutan yang disebarkan.- UTUSAN