Lelaki rentung dalam kebakaran rumah - Utusan Malaysia

Lelaki rentung dalam kebakaran rumah

KEADAAN rumah yang terbakar dan mengorbankan seorang lelaki di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh, Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh di sini hari ini.

Difahamkan, lelaki berusia 61 tahun yang tinggal bersama ibunya gagal menyelamatkan diri sebelum terperangkap dalam kebakaran itu.

Dalam kejadian kebakaran melibatkan rumah papan dua tingkat itu, ibu mangsa berusia 83 tahun berjaya diselamatkan oleh jiran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 2.35 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh segera digerakkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.

“Kebakaran melibat sebuah rumah kelas B yang musnah terbakar dianggarkan sebanyak 90 peratus.

“Setelah operasi memadam kebakaran selesai, kita menjumpai mangsa dalam keadaan rentung di bahagian dapur rumah,” katanya di sini hari ini.

Menurut Sayani, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 5.44 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN