Lelaki didakwa curi kabel, pandu secara berbahaya lari daripada polis

Lelaki didakwa curi kabel, pandu secara berbahaya lari daripada polis

T. KERUBAHKARAN diiringi anggota polis ketika keluar dari kamar mahkamah Majistret, Ayer Keroh hari ini selepas menghadapi enam pertuduhan termasuk memandu secara melawan arus dan mencuri kabel. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki didakwa Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri kabel dan memandu secara berbahaya bagi mengelak ditahan pasukan polis, awal bulan ini.

Tertuduh, T. Kerubahkaran, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas enam pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam dua prosiding berasingan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman dan Majistret Tuan Uthman Abd. Ghani.

Mengikut pertuduhan di hadapan Sharda, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu secara berbahaya.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 108(1) APJ 1987 atas pertuduhan telah memalsukan nombor pendaftaran kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandunya. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 pagi, di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Cheng, 6 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad yang mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan bagi pertuduhan pertama dan RM6,000 bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, tertuduh memohon agar jaminan diringankan atas alasan mempunyai seorang anak berusia lima bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Sharda kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 19 Jun depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Tuan Uthman, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama atas kesalahan mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad.

Tertuduh turut dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam.

Tertuduh bagaimanapun dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kesemua empat pertuduhan tersebut dan tarikh sama iaitu 19 Jun ditetapkan bagi sebutan semula kes.

Utusan Malaysia pada 6 Mei lalu melaporkan dua lelaki disyaki mencuri kabel melarikan diri dengan memandu secara melawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) sehingga merempuh empat kenderaan termasuk sebuah lori sebelum ditahan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) Polis di Kilometer 216.8 sekitar pukul 5.30 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN