SETIU: Seorang lelaki cedera selepas diserang seekor buaya ketika melakukan aktiviti menjala ikan di tasik di Kampung Jelapang di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, mangsa, Ahmad Khalid Ya, 50, mengalami kecederaan di bahagian anggota badan akibat serangan hidupan liar itu dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.
“Kira-kira pukul 5.30 petang mangsa bersama dua lagi ahli keluarganya ke tasik berkenaan untuk melakukan aktiviti menangkap ikan sebelum diserang reptilia itu. Mangsa kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital.
“Susulan itu, tangkapan terhadap haiwan liar itu dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan bantuan penduduk kampung,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, anggotanya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9 malam dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Buaya sepanjang 12 kaki dan seberat 100 kilogram telah ditangkap malam tadi, reptilia itu juga telah dilepaskan ke habitat asalnya. Serangan ini adalah yang pertama kali berlaku di Terengganu pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN