MELAKA: Seorang lelaki diberkas polis selepas disyaki menyamun sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 31 tahun itu dikejar orang awam kerana menyamun dan mencederakan isteri pemilik kedai emas yang berusia 70 tahun.
“Suspek bersenjatakan tukul melarikan diri ke arah jambatan di Sungai Melaka sejauh kira-kira 200 meter dari kedai emas. Suspek kemudian terjatuh sebelum dicekup orang awam.
“Suspek mengalami kecederaan pada bahagian kepala, kedua belah tangan dan kaki dan telah dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya.
Tambah Christopher, polis merampas lima utas rantai emas, sehelai kemeja-T, baju sejuk, seluar panjang dan sebatang tukul besi.
“Seringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau. Lelaki itu kemudian ditahan di lokap Balai Polis Melaka Tengah.
“Wanita warga emas yang cedera ditempatkan di zon merah dan dilaporkan stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN