Lebih 9,000 hadiri Kongres Nasional PKR, terbesar dalam sejarah

Lebih 9,000 hadiri Kongres Nasional PKR, terbesar dalam sejarah

FUZIAH Salleh melihat proses pembungkusan minyak paket semasa lawatan ke sebuah syarikat pembungkusan minyak di Jalan Kempas Lama, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kongres Nasional PKR yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini minggu depan bakal menjadi himpunan terbesar dalam sejarah parti yang ditubuhkan pada 1999.

Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, lebih 9,000 perwakilan dari 222 cabang di seluruh negara bakal menyertai kongres selama tiga hari tersebut.

Jumlah perwakilan yang ramai susulan pindaan Perlembagaan parti pada 15 Disember tahun lalu yang melayakkan semua pemenang pemilihan peringkat cabang hadir secara fizikal pada kongres nasional.

“Dianggarkan lebih 9,000 akan hadir mengundi pada kongres itu,manakala lebih 20,000 perwakilan pula akan mengundi secara ‘online’,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke sebuah syarikat pembungkusan minyak di Jalan Kempas Lama, di sini hari ini.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yakin kontroversi dalam pemilihan cabang tidak akan menyebabkan perpecahan dalam parti.

“Kita telah melantik audit luar sebagai pihak ketiga. Terbukti audit dibuat mendapati tiada ‘tampering’, tiada undi diganggu dan dibuat mengikut standard antarabangsa. Persiapan untuk Kongres Nasional ini juga berjalan lancar dengan semua pihak menunjukkan semangat yang tinggi,” katanya.

Pengundian bagi jawatan PKR pusat, termasuk Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden bakal diadakan pada 23 Mei, dengan perasmian kongres dijadualkan berlangsung pada malam hari yang sama.

Pada pemilihan peringkat cabang beberapa minggu lalu, timbul dakwaan terdapat cubaan menghalang kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli daripada memenangi jawatan yang dipertandingkan.

Antara yang tewas termasuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN