MELAKA: Lebih 80 peratus unit gerai MyKiosk di negeri ini telah diisi oleh peniaga manakala bakinya sedang menjalani proses saringan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan mengenai unit yang terbiar sehingga rosak tanpa peniaga.
Katanya, ketika ini empat PBT iaitu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang giat menyaring dan memilih baki penyewa.
“Saya tidak pasti di negeri lain tetapi di Melaka saya tidak dengar MyKiosk mereput (rosak) tanpa ada peniaga. Bagaimanapun saya tidak menafikan mungkin ada antara 10 dan 15 peratus kiosk yang masih kosong.
“Sebenarnya peniaga sudah ada cuma mungkin mereka belum mula berniaga. Jadi saya rasa ia bukan isu untuk dijadikan polemik di Melaka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengarahkan PBT mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu kekosongan projek MyKiosk. – UTUSAN