SHAH ALAM: Lebih 5,000 peminat dunia automotif berkumpul memeriahkan acara sulung Truck Fighter 1.0 Meet & Show, satu perhimpunan terbesar komuniti kenderaan 4×4 di Malaysia.
Program anjuran Zaki GM Garage Sdn. Bhd. itu bagi meraikan semua pemilik kenderaan 4×4, terutamanya generasi muda, untuk berkumpul dalam satu platform yang menyatukan peminat dunia automotif serta para usahawan bengkel 4×4 di seluruh Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zaki GM Garage Sdn. Bhd., Azmar Zaki Ayub, acara yang diadakan di pekarangan parkir Stadium Shah Alam itu semalam menyediakan platform yang mesra keluarga dan inklusif bagi anak muda untuk melibatkan diri dalam hobi pemotoran.
“Ia juga sebagai platform memupuk inovasi dan kreativiti dalam dunia automotif, khususnya dalam bidang modifikasi serta teknologi kenderaan.
“Ia bukan sekadar platform untuk dunia 4×4, tetapi turut membawa gaya hidup keluarga yang sarat dengan elemen perkongsian dan interaksi dalam kalangan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmar Zaki berkata, dimensi jaringan ini turut diperluas melalui kehadiran wakil syarikat automotif terkemuka serta undangan dari Thailand, yang membuka ruang luas bagi membina hubungan strategik dan pertukaran pengalaman berharga dalam industri pemotoran 4×4.
Antara aktiviti menarik yang dianjurkan termasuk pameran kenderaan 4×4, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, serta pertandingan Show Off Time! yang menampilkan pelbagai kategori unik seperti Best Colour, Best Big Brake Kits dan Best Monster.
Beliau berkata, dengan sambutan yang menggalakkan serta penyertaan pelbagai pihak, Truck Fighter 1.0 Meet & Show membuktikan potensi besar komuniti 4×4 sebagai pemacu inovasi, jaringan industri dan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Program ini membuka peluang kepada bengkel perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempromosikan jenama serta perkhidmatan mereka kepada khalayak yang lebih luas.
“Ia turut menjadi platform penting untuk membina rangkaian kerjasama di seluruh negara dan juga dengan negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia, sekali gus memperkukuh hubungan dalam industri permotoran serantau termasuk perkongsian teknologi baharu,” katanya.
Selain aspek permotoran, program ini juga mengambil inisiatif mengumpulkan data sukarelawan dari setiap negeri sebagai persediaan menghadapi bencana, membolehkan tindakan pantas dan koordinasi lebih efektif pada masa hadapan. – UTUSAN