Lebih 1,300 polis bertugas sempena LIMA'25

Lebih 1,300 polis bertugas sempena LIMA’25

ANGGOTA trafik antara yang terlibat dalam penugasan LIMA’25 bagi memastikan kelancaran lalu lintas di Langkawi. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Lebih 1,300 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan mengawal keselamatan dan lalu lintas bagi memastikan kelancaran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang akan bermula minggu hadapan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, penugasan tertumpu kepada kawalan keselamatan di kedua-dua lokasi acara iaitu Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

“Jalan Lima berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) dan MIEC, serta Jalan Teluk Baru pula akan dijadikan laluan sehala bermula pukul 7 pagi hingga 6 petang sepanjang LIMA’25.

“Semua pihak diminta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa serta menggunakan laluan seperti mana papan tanda arah yang dipasang bagi mengelakkan kesesakan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau turut meminta kenderaan yang hendak mengambil atau menghantar penumpang di LTAL untuk merancang masa perjalanan dan tidak dibenarkan menunggu di kawasan LTAL.

Tambahnya, bagi petugas LIMA’25, pekerja di LTAL, menara kawalan udara, kaji cuaca serta Petronas LTAL perlu menggunakan pelekat kenderaan yang disediakan oleh penganjur untuk memudahkan urusan masuk ke kawasan itu.

Jelasnya, semua pengunjung ke pameran di MIEC pula digalakkan menggunakan khidmat e-hailing rasmi LIMA’25 atau menggunakan laluan dari Meritus Pelangi Beach Resort ke Pusat Latihan Polis Langkawi (Pulapol) serta mengelak laluan menuju ke bulatan lapangan terbang.

“Pengunjung di dua lokasi LIMA’25 ini juga boleh meletakkan kenderaan di tempat yang dikhaskan dan menaiki kenderaan berulang-alik disediakan oleh penganjur.

“Kenderaan yang didapati menghalang lalu lintas akan terus dialihkan bagi mengelakkan kesesakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN