RANTAU PANJANG: Seorang lelaki bertindak melarikan diri dengan meninggalkan ketulan ganja seberat 22.5 kilogram (kg) di dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran persimpangan lampu Banggol Kulim di sini semalam.
Rampasan ganja termasuk kereta yang bernilai RM819,000 itu dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada pukul 6.20 pagi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa melakukan rondaan rutin anggota bertugas telah mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dan bertindak menahannya.
“Bagaimanapun pemandu telah meninggalkan kereta tersebut di tepi jalan dan terus bertindak melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai ganja seberat 22.5 kg yang disyaki diseludup masuk dari Thailand,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN