Larangan vape tidak jejas ekonomi negara

Larangan vape tidak jejas ekonomi negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengharaman penjualan vape secara berperingkat yang dilaksanakan beberapa negeri dilihat tidak memberi kesan ketara terhadap pertumbuhan ekonomi negara sebaliknya hanya melibatkan kerugian kepada peniaga dalam industri itu.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, meskipun industri vape menyumbang kepada pendapatan negara, namun kesan negatif daripada penjualan yang tidak terkawal jauh lebih besar dan membimbangkan.

Katanya, pelaksanaan cukai terhadap produk vape seperti cecair nikotin perlu dikaji secara teliti bagi mengawal penggunaannya khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Penjualan vape boleh dilihat memberi implikasi positif dan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dari segi penjanaan pendapatan adalah wajar penjualan vape dikenakan cukai seperti tembakau bagi kutipan hasil cukai yang lebih baik.

“Malah dengan pengenalan cukai yang lebih tinggi juga dilihat mampu mengurangkan pembelian vape oleh golongan muda dan pelajar sekolah. Namun begitu, penjualan vape yang tidak terkawal termasuk secara dalam talian dengan pelbagai perisa berunsur ganja, ketum dan alkohol adalah amat membimbangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, industri vape di negara ini bakal lumpuh dan berdepan kerugian lebih RM1.8 bilion sekiranya beberapa negeri lagi mengambil langkah mengharamkan penjualan vape.

Mengulas lanjut, Bashir berkata, kerajaan wajar menjalankan kajian menyeluruh terhadap impak pengharaman tersebut sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad.

Katanya, aspek kawal selia seperti had umur pembeli, jenis perisa dibenarkan dan kandungan nikotin perlu diperkemaskan terlebih dahulu sebelum pengharaman sepenuhnya dilaksanakan.

“Sebelum keputusan pengharaman vape dilakukan, perlu ada kajian menyeluruh oleh kerajaan ke atas impak penjualan vape kepada industri domestik, peniaga dan juga pelanggan akhir.

“Pelaksanaan cukai yang lebih tinggi dan pemberian lesen juga dilihat mampu mengawal kegiatan penjualan vape secara berleluasa kepada golongan tidak layak seperti pelajar sekolah dan belia bawah umur,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, walaupun pengharaman vape berpotensi menjejaskan pendapatan industri, namun kesannya hanya bersifat jangka pendek.

Katanya, manfaat jangka panjang seperti pengurangan kos kesihatan awam harus diberi perhatian utama oleh kerajaan dalam membuat keputusan.

“Pengharaman vape boleh mengurangkan pendapatan industri dan mengganggu rantaian bekalan terutamanya bagi usahawan kecil. Namun, langkah ini juga boleh mendorong peralihan sumber ke industri yang lebih mampan dan beretika.

“Dalam masa sama, ia dapat mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan negara akibat kesan sampingan penggunaan vape,” katanya.

Mohamad Idham berkata, pengukuhan institusi pengawalseliaan dan pelaksanaan cukai serta pelesenan adalah pendekatan lebih seimbang berbanding pengharaman total.

“Cukai tinggi mampu mengurangkan aksesibiliti vape kepada golongan muda sambil menjana pendapatan untuk program kesihatan dan pendidikan awam. Pelesenan pula memastikan produk mematuhi piawaian keselamatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN