Tidak campur tangan laporan laporan Ketua Audit Negara

‘Tidak campur tangan laporan Ketua Audit Negara’

ANWAR Ibrahim bergambar bersama Juruaudit ASEAN selepas Majlis Penutupan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di PICC Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam penyediaan laporan Ketua Audit Negara walaupun terlebih dahulu menerima taklimat mengenainya.

Perdana Menteri berkata, ia sejajar dengan komitmen kerajaan yang mahu melihat prinsip tadbir urus dikendalikan dengan lebih telus dan bertanggungjawab.

Menurutnya, laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan kepada Kabinet dan Parlimen untuk dibahas secara terbuka tidak melalui sebarang pengubahsuaian atau tapisan daripada pihaknya.

“Jabatan Audit Negara (JAN) memang beri taklimat kepada saya, baru-baru ini dalam tempoh dua minggu tetapi ia bukan untuk saya ubah atau masuk campur.

“Taklimat itu sekadar untuk makluman sebelum laporan dibentang kepada Jemaah Menteri dan kemudiannya ke Parlimen untuk perbahasan terbuka. Inilah yang kita maksudkan dengan tadbir urus baik dan ketelusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Juruaudit ASEAN di sini, semalam.

Katanya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memartabatkan akauntabiliti dan integriti selain diterjemah melalui tindakan seperti memberi kebebasan penuh kepada institusi audit untuk menjalankan tugas tanpa gangguan.

Anwar berkata, beliau turut mengagumi peranan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi yang disifatkannya sebagai ‘wanita besi’ kerana tetap teguh melaksanakan tugas walaupun terpaksa berdepan tekanan dan tindakan yang tidak popular.

“Saya tahu tidak mudah (kerana) kadangkala tindakan berdasarkan laporan audit akan menimbulkan kemarahan pihak tertentu yang berkepentingan. Tapi inilah harga yang perlu dibayar demi memastikan sistem kita bersih,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kuasa audit yang bebas akan mengukuhkan lagi integriti dan tadbir urus sesebuah negara, sekali gus memberi kesan positif terhadap kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

“Ini penting supaya institusi audit boleh ikut jejak akauntabiliti ke mana sahaja ia membawa. Akhirnya akan kukuhkan integriti dan tadbir urus dalam sistem kita,” katanya.

Katanya, pengalaman mengendalikan skandal besar seperti 1MDB membuktikan bagaimana firma audit besar sekali pun tidak kebal daripada bersekongkol dalam penyelewengan, justeru mekanisme kawalan perlu diperkasa.

Sementara itu, mengulas mengenainya kerjasama serantau, Anwar berkata, ASEAN perlu terus menonjolkan diri sebagai rantau yang aman dan berpegang kepada prinsip tadbir urus baik serta kebertanggungjawaban.

“Kita mahu ASEAN menjadi contoh rantau yang paling aman dan ekonomi yang berkembang paling pesat di dunia. Tapi bukan kerana angka semata-mata, tetapi kerana kita junjung prinsip integriti dan akauntabiliti,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan sokongan terhadap Wawasan ASEAN 2045 yang menurutnya mampu melonjakkan peranan institusi audit di peringkat serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN