PETALING JAYA: Laporan berita tular di laman sosial mendakwa mayat Datin Seri Pamela Ling ditemukan di sini adalah palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini tiada apa-apa laporan diterima berkaitan penemuan mayat di lokasi tersebut seperti dinyatakan dalam laporan itu.
Beliau menegaskan penyebaran berita palsu merupakan kesalahan di sisi undang-undang.
“Ia satu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), penggunaan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan berita palsu yang boleh menggangu orang lain adalah satu kesalahan boleh dikenakan hukuman.
“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi safu tahun atau kedua-duanya sekali aatu denda tembahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan masyarakat agar hanya merujuk kepada sumber rasmi dalam mendapatkan maklumat.
“Kerjasama orang ramai dalam mengekang penyebaran berita tidak sahih amat dihargai bagi memastikan ketenteraman serta kelancaran proses siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular satu laporan sebuah portal mendakwa anak-anak Pamela serta rakan keluarga wanita itu diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematiannya.
Laporan itu mendakwa mayat Pamela ditemukan di sebuah rumah di sini oleh rakan keluarganya dan polis masih menunggu proses bedah siasatan mayat.
Dakwanya, polis sedang mencari bukti-bukti berkaitan di sekitar lokasi kejadian. – UTUSAN