Kutipan derma lebih RM2.1 juta, segerakan urusan beli tanah masjid - Utusan Malaysia

Kutipan derma lebih RM2.1 juta, segerakan urusan beli tanah masjid

MOHD. Annuar Zaini dalam sidang akhbar di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jawatankuasa Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu di Bagan Serai diminta menyegerakan urusan membeli sebahagian tanah masjid tersebut yang dimiliki individu bukan Islam memandangkan kutipan derma sudah mencukupi.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, setakat ini jumlah sumbangan orang ramai sudah lebih RM2.1 juta,

Menurutnya, untuk itu urusan pembelian tidak harus ditangguh lagi apatah lagi pemilik tanah sudah bersetuju untuk menjual tanah tersebut.

“Nasihat saya kepada jawatankuasa masjid, kalau sudah ada duit, jangan tangguh lagi (urusan beli tanah).

“Kalau perlu bantuan daripada kami, kami akan bantu. Panggil pemilik tanah dan kita buatlah perjanjian jual beli siap-siap, bawa ke Pejabat Tanah dan tukar hak milik. Kita akan buat secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Yusuf Majid berkata, jumlah kutipan derma yang diterima ialah RM1,977,482.20 setakat pukul 8.30 malam semalam.

Sebelum ini pemilik tanah dikatakan sedia menjual tanah miliknya pada harga RM1.8 juta.

Mengenai pekeliling derma yang dikumpul pada solat Jumaat esok disalurkan untuk membeli tanah masjid tersebut, Annuar berkata, terpulang kepada pihak masjid jika masih mahu menyalurkan sumbangan kepada Masjid Ar-Ridzuan

“Bagi masjid yang telah menerima surat pekeliling (wang kutipan derma solat Jumaat), terpulang kepada mereka sama ada dana yang mereka terima masih mahu nak salurkan kepada masjid Ar-Ridzuan,” katanya.

Sementara itu, Annuar menafikan MAIPk cuai sehingga sebahagian tanah masjid Ar-Ridzuan dibeli orang bukan Islam.

Menurutnya, ini kerana kes masjid tersebut adalah  wakaf daripada pemilik asal tanah yang tidak dibuat secara dokumentasi.

Menurutnya, jawatankuasa masjid hanya menyedari tanah masjid sudah dijual ketika membesarkan struktur bangunan masjid.

“Setelah pemilik tanah menyedari perkara itu, dia tidak menjadikan ia isu sebaliknya sedia menjual tanah miliknya kepada pihak masjid dan kita selesaikan perkara ini secara aman, tak mahu kecoh-kecoh atau tuduh menuduh.

“Namun ada pihak yang mahu eksploitasi, nak membandingkan isu ini dengan isu kuil,  kenapa kerajaan boleh keluar duit tapi bila rumah ibadah orang Islam, kerajaan tak nak keluar duit. Semua ini tak timbul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN