KRU paling berpengaruh selepas Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

KRU paling berpengaruh selepas Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGHAMPIRI slot nyanyian terakhir konsert GenKRU, seorang peminat berbangsa Cina bangun dari kerusi, berteriak menyanyikan lagu yang meledak di era 90-an dalam kesyahduan. Dia larut dalam perasaan sambil dengan gemalai tangan melambai ke arah trio di atas panggung.

KRU yang dianggotai anak-anak encik Abdul Halim iaitu Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry baru sahaja menciptakan sejarah baharu dengan memegang dua pencapaian dari Malaysia Books of Records (MBR) iaitu Persembahan Terbanyak Dilakukan dalam Satu Siri Konsert dan Penjualan Tiket Terpantas dalam Tempoh 1 Jam.

Saya tidak pasti bagaimana MBR menilai penganugerahan itu melihat kepada konsert pada 2013, Konsert Lentera Timur yang turut berlangsung empat hari berturut-turut. Namun kita serahkan sahaja urusan itu kepada pihak MBR yang sepatutnya lebih pakar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan taring KRU tetap tajam dengan nyanyian secara langsung sambil menari lincah pada usia 50-an.

Dengan kapasiti stadium Axiata Arena yang boleh menempatkan 13,000 hingga 16,000 pengunjung, secara purata, konsert GenKRU boleh diletakkan dalam senarai lima konsert tempatan paling berjaya sepanjang zaman dengan anggaran kehadiran 52 ribu pengunjung.

Rekod KRU menyaingi Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang diadakan di beberapa lokasi iaitu dua hari di Stadium Axiata Arena diikuti siri jelajah di Spice Arena Penang dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Secara keseluruhan, dianggarkan 41 ribu pengunjung hadir sepanjang konsert tersebut. (Persembahan di Singapura dikeluarkan dalam kiraan ini bagi memberi fokus kepada konsert tempatan)

Walaupun KRU membenamkan rekod Ella dan Datuk M. Nasir dengan kapasiti pengunjung Konsert Cipta M.Nasir sekitar 19,000 pengunjung, namun tiada siapa yang mampu mengalahkan rekod yang dipegang Biduanita Negara, Datuk Siti Nurhaliza pada tahun 2004.

Siti yang ketika itu berusia berusia 25 tahun menjadi satu-satunya artis tempatan yang pernah mengadakan konsert solo, Konsert Fantasia Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kehadiran 70,000 pengunjung.

Bagaimanapun, Konsert Chow Kit Road Allahyarham Sudirman 1986 yang katanya dihadiri 100,000 pengunjung tidak termasuk dalam senarai ini memandangkan ia adalah konsert percuma di jalanan yang sukar dinilai dengan jelas bilangan pengunjung yang hadir.

Tambahan pula, ketika itu berlangsungnya Persidangan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (Pata) dan Sudirman dipilih bernyanyi di konsert itu memandangkan beliau merupakan duta PATA.

KRU dan sebuah ‘nostalgia marketing’

Kejayaan KRU sebenarnya banyak dibantu oleh kebijaksanaan penganjur, Icon Entertainment dalam merangka sebuah strategi pemasaran yang dipanggil nostalgia marketing.

Nostalgia adalah sebuah perasaan kerinduan, rasa ingin pulang kepada sebuah tempat yang tidak mampu kita kembali. Walaupun tanpa kehadiran internet, 90-an adalah era gemilang untuk industri muzik dengan kemeriahan artis berkumpulan pop di tengah rancaknya band rock kapak.

Dengan rasa nostalgia ini, Icon Entertainment memancing pengunjung dengan menggembalikan kumpulan seperti Elite, Adam AF, Abon sehingga ada permintaan untuk hari keempat. Umpan mereka mengena apabila tiket hari terakhir laris manis sejurus mereka mengumumkan kehadiran Feminin.

Nostalgia sememangnya bersifat menggoda, tambahan pula peminat KRU semua sudah bekerja dan mempunyai kuasa beli yang besar. Saya percaya, dengan bandana di kepala, baju jersey dan placard ‘Kami tinggalkan anak di rumah sebab KRU’, kumpulan itu boleh saja melariskan konsert untuk hari kelima jika ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×