PASIR MAS: Krisis rumah tangga yang sedang dihadapi oleh seorang guru ketika proses perceraian kali ketiga dipercayai menjadi punca lelaki itu bertindak menikam anak lelakinya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, suspek menikam mangsa yang berusia 11 tahun sebanyak dua kali di bahagian dada dan sekali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berpunca daripada krisis rumah tangga yang dihadapi oleh suspek yang kini dalam proses penceraian dengan isterinya untuk kali ketiga.
Menurutnya, kes perceraian itu dijadualkan disebut pada 13 Mei ini di Mahkamah Syariah Tumpat, dekat sini.
“Selain itu, suspek dipercayai mempunyai masalah mental dan menerima rawatan psikiatri sejak dari 2008 sehingga kini.
“Mangsa yang merupakan anak kandungnya dirawat di Hospital Pasir Mas dan akan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Kama Azural memberitahu, suspek telah ditangkap dan ditahan di lokap Balai Polis Pasir Mas di sini. – UTUSAN