Remaja neo-Nazi menyamar peluk Islam, helah rancang bakar masjid di Scotland - Utusan Malaysia

Remaja neo-Nazi menyamar peluk Islam, helah rancang bakar masjid di Scotland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EDINBURGH: Seorang imam masjid di Scotland mendedahkan bagaimana seorang remaja neo-Nazi berpura-pura memeluk Islam sebagai helah untuk melancarkan pembunuhan beramai-ramai di dalam masjid.

Remaja berusia 16 tahun ketika kejadian itu ditahan pada Januari lalu ketika dalam perjalanan untuk membakar Pusat Muslim Inverclyde di Greenock, lapor Sky News pada Isnin.

Dia kemudian mengaku bersalah di bawah Akta Keganasan di Mahkamah Tinggi Glasgow dan akan dijatuhkan hukuman pada tarikh yang akan ditetapkan.

Remaja itu dikatakan terinspirasi oleh pembunuh beramai-ramai Norway, Anders Breivik, dan berharap masjid berkapasiti 275 jemaah itu akan penuh semasa serangan selain merancang menstrim langsung serangan tersebut selepas terpengaruh dengan ideologi radikal dalam talian sejak berusia 13 tahun.

Menurut Imam Mohammed Bilal, remaja itu mendakwa ingin menjadi Muslim, lalu memberinya al-Quran untuk menambah pengetahuan.

“Dia kata mahu hidup yang seimbang. Bila saya tanya maksudnya, dia menjawab mahu lebih dekat dengan Pencipta jika menjadi Muslim,”katanya.

Hamid Akhtar, seorang lagi ahli masjid, berkata rancangan serangan itu menjadi amaran besar kepada komuniti Muslim tempatan.

“Apa yang menakutkan ialah seseorang boleh jadi begitu mesra dan licik. Dia memperdayakan kami kononnya mahu memeluk Islam, dan kami pula membantunya dengan sepenuh kepercayaan.

“Ia mengajar kami supaya lebih berhati-hati pada masa depan tentang siapa yang datang dan niat mereka. Kini kami ada lebih banyak kamera keselamatan,” katanya kepada Sky News.

Remaja yang didiagnosis autism itu percaya bahawa orang Eropah sedang berperang menentang kaum lain. Dia menulis sebuah manifesto di telefon bimbitnya dan bersumpah akan mati demi tanah air. Dalam manifesto terakhirnya, dia menyatakan akan menyerang ketika masjid berada pada kapasiti penuh.

Namun, pintu masjid ketika itu berkunci, dan polis sedia menunggunya selepas menerima maklumat awal. Dalam beg sandangnya, polis menemui sepucuk pistol angin buatan Jerman, bebola besi, kartrij gas serta empat tin semburan aerosol.

Serbuan di rumahnya turut menemukan senaskhah buku Mein Kampf tulisan Adolf Hitler, pisau dan bahan membuat bom. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN