KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan siasatan berhubung insiden seorang murid sekolah rendah dimarahi dan dimalukan gurunya dengan video insiden tersebut turut tular di media sosial.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung perkara itu kerana ia memberikan impak besar kepada masyarakat.
“Rakaman yang ditularkan memberi impak besar terhadap masyakarat namun perkara ini masih di dalam siasatan.
“Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya untuk beri tumpuan kepada isu ini supaya kita dapat terus mengingatkan semua tentang integriti dan etika guru,” katanya kepada pemberita pada
Majlis Pelancaran dan Simbolik Penyerahan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai video tular memaparkan seorang murid sekolah menangis dimarahi gurunya di kantin sebuah sekolah.
Sementara itu, Fadhlina mengingatkan semua tenaga pengajar untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam Standard Guru Malaysia 2.0 (SGM 2.0) yang menekankan aspek integriti dan etika, selaras dengan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
Katanya, garis panduan tersebut perlu sentiasa dijadikan panduan utama warga pendidik, bukan sahaja di dalam atau luar bilik darjah malah ketika menggunakan media sosial.
Tambahnya, walaupun golongan pendidik mempunyai ruang dan hak untuk menyuarakan pandangan, ia perlu dilakukan secara beradab dan dalam saluran yang sesuai.
“Apa pun isunya, saya yakin dan percaya bahawa ada ruang yang lebih selamat, ruang yang lebih bersifat privasi untuk memastikan bahawa apa sahaja perbincangan dan isu itu dapat diselesaikan secara baik.
“Saya juga amanahkan Ketua Pengarah untuk melihat perkara ini dan sentiasa mengingatkan guru-guru kita tentang integriti dan etika mereka, baik di dalam kelas, di luar kelas mahupun di media sosial,” katanya. – UTUSAN