KPM, CMCF perlu kerjasama kawal kandungan media libat guru

KPM, CMCF perlu kerjasama kawal kandungan media libat guru

FOUZI SINGON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bekerjasama dengan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi menetapkan garis panduan kandungan media yang melibatkan warga pendidik.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan pelanggaran etika perguruan, pencabulan hak murid serta salah laku profesional yang boleh menjejaskan imej institusi pendidikan negara.

Menurutnya, garis panduan tersebut perlu merangkumi batas yang jelas terhadap kandungan yang boleh dikongsi oleh guru, sama ada di media sosial atau platform digital lain, termasuk membabitkan interaksi bersama murid.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Guru mesti tahu peraturan dan etika sebagai pendidik. Murid perlu diutamakan, bukan dijadikan bahan kandungan media yang tidak wajar atau mempermainkan situasi yang menyentuh emosi dan maruah mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, beberapa insiden tular melibatkan guru mencetuskan perdebatan da­lam kalangan masyarakat, antaranya termasuk rakaman video seorang guru mengherdik murid serta dakwaan membabitkan skandal peribadi yang menjejaskan nama baik profesion perguruan.

Fouzi berkata, perkara tersebut menunjukkan ke­perluan mendesak untuk menyediakan satu kerangka panduan yang bukan sahaja melindungi murid, malah membantu guru memahami sempadan dalam penggunaan platform awam.

Beliau berkata, guru muda khususnya perlu diberi latihan dan pendedahan berterusan mengenai nilai-nilai keguruan serta undang-undang sedia ada agar tidak terjebak dalam salah laku tanpa sedar.

“KPM boleh bekerjasama dengan CMCF untuk menetapkan panduan yang jelas. Ini penting supaya guru tidak terjerumus dalam isu perundangan atau melanggar norma profesion yang telah digariskan,” ujarnya.

Menurutnya, NUTP bersedia memberikan input dan bekerjasama dengan KPM serta CMCF untuk merangka dasar tersebut, memandangkan peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan guru kini memberi implikasi langsung terhadap reputasi sekolah dan sistem pendidikan.

Katanya, guru sebagai penjawat awam juga perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap bentuk komunikasi dan penampilan di ruang maya, kerana setiap kandungan yang dikongsi membawa tanggungjawab dan boleh dinilai masyarakat secara terbuka. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini