KUALA LUMPUR: Sambutan luar biasa Konsert GenKRU 2025 selama empat hari melayakkan kumpulan tersebut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBR) pada Ahad.
Semasa hari terakhir konsert semalam, KRU yang terdiri daripada Datuk Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry dianugerahkan pengiktirafan Persembahan Terbanyak Dilakukan Dalam Satu Siri Konsert menerusi konsert yang berlangsung pada 3,4, 10 dan 11 Mei.
“Pencapaian ini adalah sebuah apresiasi bukan untuk KRU secara peribadi tetapi buat peminat yang telah menjadikan Konsert GenKRU 2025 daripada rencana asalnya hanya satu malam kepada dua, tiga sehingga empat malam.
“KRU seharusnya berterima kasih terhadap sokongan tanpa henti selama lebih tiga dekad kami berada dalam industri sehingga lahir penganjuran Konsert GENKRU 2025 selama empat malam sehingga diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR),” ujar Norman mewakili KRU.
Dalam pada itu, penganjur konsert, ICON Entertainment juga menerima pengiktirafan Penjualan Tiket Konsert Terpantas DalamTempoh 1 Jam selepas menjual 8,000 tiket.
“Kami di Icon Entertainment dengan suka cita berkongsi pengiktirafan ini kepada semua peminat KRU yang telah menjadikan Konsert GenKRU cukup luar biasa bukan hanya kerana pembelian tiket terlaris dalam tempoh satu jam tetapi telah menjadikan konsert ini gemilang dengan empat malam penganjuran,” kata Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.
Konsert GENKru yang sudah dihadiri oleh lebih 30,000 peminat turut menyaksikan kemunculan istimewa seperti kumpulan Feminin, Elite dan Adam AF sekali gus mengembalikan semula nostalgia kegemilangan era 90-an. -UTUSAN