KUALA LUMPUR: Konsensus Lima Perkara bagi menangani pergolakan di Myanmar antara perbincangan utama yang diberikan tumpuan dalam pertemuan membabitkan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) yang berlangsung hari ini.
Perbincangan tidak rasmi secara tertutup itu dijangka akan dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bermula jam 4 petang ini.
Difahamkan, mesyuarat akan berlangsung dalam dua sesi sebelum ditamatkan pada 6.45 petang ini.
Berdasarkan prosedur, hasil perbincangan di peringkat SOM akan dibawa untuk dirundingkan oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN dijadualkan berlangsung pada esok pagi sebelum ia diangkat ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 pada Isnin dan Selasa.
Konsensus Lima Perkara dipersetujui pada Sidang Khas Pemimpin ASEAN pada 2021 di Jakarta, Indonesia, merupakan usaha ASEAN untuk menamatkan krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar susulan rampasan kuasa oleh junta tentera di negara itu.
Ia menggariskan lima tunjang iaitu menghentikan keganasan, dialog konstruktif, bantuan kemanusiaan, menjadikan ASEAN sebagai perantara, serta lawatan wakil khas ASEAN ke negara itu.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 kali ini turut diadakan bersama Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama.
Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dengan membawa tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ iaitu dua nilai utama berteraskan nilai Madani Malaysia, merangkumi nilai Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan serta Ihsan.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – UTUSAN