MIRI: Berikutan masalah kesihatan yang semakin merosot, penyanyi, Hafiz Suip, terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan satu jam sebelum konsert bermula.
Berita itu disampaikan salah seorang pengacara, Nabil Ahmad, semasa Konsert MeleTOP TVS yang berlangsung pada Sabtu.
“Dukacita dimaklumkan, Hafiz tidak dapat bersama kita pada hari ini kerana masalah kesihatan.
“Sama-sama kita doakan agar dirinya segera sembuh.
“Mewakili pihak penganjur, kami minta maaf kerana dia tidak dapat bersama kita. Namun ada ramai lagi artis yang akan membuat persembahan,” kata Nabil, ringkas.
Hafiz atau Mohd Hafiz Mohd Suip, 35, sepatutnya menyanyikan tiga buah lagu iaitu Awan Nano, Noktah Cinta, dan Kisah Cinta Kita.
Difahamkan, Hafiz teruja untuk membuat persembahan dan sempat menghadiri sesi ‘soundcheck’ sehari sebelum acara.
Sebelum ini, menerusi hantaran di media sosial, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-26 itu disahkan mempunyai batu karang dalam buah pinggang.
Hafiz telah menerima rawatan termasuk menerima suntikan di sebuah pusat perubatan semalam.
Konsert MeleTOP TVS merupakan sebuah acara yang menggabungkan budaya tradisional Boneo dan pop masa kini.
Turut sama menjayakan konsert yang diadakan di Stadium Bandaraya Miri itu adalah Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Marsha Milan, Stacy, Wani Kayrie, Mimi Fly, Floor 88, Nadeera, Noki K-Clique, dan Dolla. -UTUSAN