BUTTERWORTH : Dua daripada tiga individu yang dipercayai menyerang seorang lelaki dengan bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Jalan Raja Uda, di sini kelmarin telah berjaya ditahan, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden C. Tharmalingam berkata, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) tersebut.
Beliau berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.20 malam itu, mangsa bersama rakannya dikatakan baru sahaja tiba di lokasi kejadian untuk menikmati makan malam.
Katanya, ketika membuka pintu kereta, mangsa bagaimanapun telah diserang oleh seorang lelaki yang memakai topeng dari arah belakang.
“Mangsa yang terkejut kemudian bertindak melarikan diri sebelum dilanggar oleh kereta yang dinaiki suspek. Selepas terjatuh, mangsa seterusnya diserang pula oleh tiga lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang.
“Mangsa bagaimanapun berjaya memasuki sebuah klinik swasta berhampiran lokasi kejadian untuk mendapatkan pertolongan,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tharmalingam berkata, doktor klinik berkenaan telah memberikan rawatan awal ddan menghubungi ambulans bagi membolehkan mangsa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
“Ketika ini, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tharmalingam turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Irwan Shah di talian 04-5762222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.
Semalam, tular satu rakaman video berdurasi 22 saat di laman sosial yang memaparkan seorang individu bertopeng melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Nissan berwarna putih.
Dalam rakaman video terbabit, kereta itu dilihat turut melanggar sebuah kenderaan lain dalam keadaan mengundur. Turut tular dalam rakaman video yang sama ialah seorang lelaki yang berlumuran darah sedang terbaring di klinik.-UTUSAN