KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi memohon untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan keputusan berhubung representasi itu masih belum diketahui walaupun telah memasuk tempoh dua tahun sejak ia diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Representasi itu telah dihantar kepada AGC pada 31 Julai 2023 yang mana ia telah menjangkau hampir dua tahun.
“Daripada segi fakta, representasi itu tidak berubah, ia masih dokumen yang sama namun kami tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak AGC.
“Kami hanya meminta DNAA dan jika pihak pendakwaan mahu meneruskan pendakwaan semula, mereka sentiasa boleh berbuat demikian,” kata peguam itu.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan mahkamah bahawa pihak AGC meminta waktu tambahan selama sebulan untuk menyediakan keputusan itu.
“Pihak kami memohon waktu tambahan selama satu bulan untuk membuat keputusan mengenai permohonan tertuduh,” katanya.
Pada prosiding sebelum ini, Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa kes pengubahan wang haram itu ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Hakim K. Muniandy kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 11 Jun ini sebagai tarikh pengurusan kes dan bagi mengetahui status representasi.
Mahkamah turut mewajibkan kehadiran Najib pada tarikh akan datang.
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.-UTUSAN