MEKAH: Seorang usahawan kelahiran Terengganu melakar pencapaian tersendiri apabila membuka kafeteria di kota suci ini yang menawarkan pelbagai hidangan citarasa Malaysia pada harga berpatutan.
Pengarah Urusan Adeq Sue Resources Sdn. Bhd., Shukuriah Abd. Ghafar berkata, syarikat itu telah bertapak lebih 13 tahun di Terengganu hasil perkongsian bersama sepupunya yang juga bekas pemain bola sepak terkenal negara, Hairuddin Omar.
Mesra dikenali sebagai Kak Su, beliau berkata, setelah perniagaan di Terengganu stabil dengan operasi kilang di Seberang Takir, Kuala Nerus, syarikat itu melangkah setapak lagi ke pasaran global dengan pembukaan kafe tersebut yang beroperasi di Hotel Rehab Janadriyah, di sini tahun ini.
Antara menu menjadi kegemaran jemaah haji ialah keropok lekor, nasi lemak dan roti canai. Tidak ketinggalan nasi kerabu, nasi dagang, pulut kuning, mi goreng, lontong, laksa Penang dan laksa Johor.
“Kita menggunakan rempah ratus dan bahan masakan asli dan segar seperti di Malaysia pada tawaran harga berpatutan dengan purata 12 Saudi Riyal (SAR) (RM13.80) dan saiz hidangan yang sesuai,” katanya ditemui di Hotel Rehab Janadriyah, semalam.
Selain makanan panas, Adeq Sue turut menyediakan pelbagai pes sambal untuk memenuhi permintaan jemaah seperti sambal tempoyak petai, budu, sambal belacan, sambal hitam dan sambal ikan bilis.
Ketika ini beliau dalam proses menyediakan dapur berpusat untuk melancarkan lagi operasi.
“Selain 40 pekerja daripada pelbagai negara, kami turut dibantu rakan kongsi yang merupakan anak jati Arab Saudi yang arif dalam selok belok perniagaan di sini,” katanya.
Ujarnya, paling menggembirakan apabila ramai jemaah haji dari hotel yang jauh turut datang semata-mata mahu merasai kelazatan hidangan di kafe itu.
“Saya puas melihat mereka tersenyum menikmati hidangan citarasa Malaysia dan berharap dapat membuka lebih banyak cawangan kafeteria atau restoran di sekitar Arab Saudi pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN









