KUALA LUMPUR: Kerjasama baharu yang terbentuk antara ASEAN dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merupakan permulaan kepada era transformasi dalam tadbir urus serta pelaburan rentas wilayah yang lebih menyeluruh dan strategik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan rundingan dua hari bersama pemimpin ASEAN, GCC dan China mencerminkan pencapaian luar jangka.
Katanya, ini kerana kesepakatan dapat dicapai oleh pihak yang terlibat dalam pelbagai isu utama.
“Pada awalnya kita hanya menjangkakan satu bentuk persefahaman umum. Namun, perbincangan mendalam antara pemimpin telah menghasilkan satu kenyataan bersama yang merangkumi pelbagai isu penting termasuk teknologi, pelaburan serta hal ehwal antarabangsa,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 di sini, hari ini.
Sesi forum itu turut disertai Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan G42, Peng Xiao.
Ia dikendalikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai moderator.
Anwar berkata, pencapaian sedemikian tidak akan dapat direalisasikan tanpa wujudnya asas saling mempercayai yang kukuh antara negara anggota.
“Ini kali pertama ASEAN dan GCC menjalankan rundingan serius. Ia membabitkan dua hari yang padat dengan kerja keras serta perbincangan intensif. Namun, hasilnya cukup memberangsangkan apabila kedua-dua blok akhirnya bersetuju dalam isu-isu utama.
“Bagi saya, ini hanyalah permulaan. Apabila pemimpin bersedia menyokong teknologi baharu dan perubahan struktur, ia hanya boleh berlaku jika wujud kepercayaan tulen antara satu sama lain,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kesepakatan itu turut membuktikan tahap kematangan diplomatik antara anggota ASEAN.
“Ini adalah pencapaian besar, yang turut meyakinkan China untuk bersama dalam rundingan. Seperti yang saya sering tekankan, ASEAN kekal sebagai rantau paling aman dengan pertumbuhan ekonomi yang pantas.
“GCC pula menyaksikan perkembangan luar biasa dalam sektor tenaga boleh baharu, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI). Maka, gabungan kekuatan ini membentuk asas kukuh untuk meneroka masa depan bersama,” jelasnya.
Tegas Anwar, nilai kemanusiaan, maruah dan keadilan tidak boleh diketepikan dalam mengejar kemajuan teknologi.
“Isu sebenar bukan hanya berkisar kepada teknologi, tetapi juga identiti, sejarah dan nilai sejagat. Tanpa nilai, teknologi boleh merendahkan martabat manusia dan menjadikan kita sekadar alat.
“Kita lihat hari ini, banyak kegagalan dalam sistem politik global berpunca daripada defisit nilai. Maruah manusia tidak lagi dihormati, keadilan dan kejujuran semakin terpinggir, semuanya berpaksi kepada kekayaan dan kejayaan semata-mata,” katanya. – UTUSAN