Malaysia penuhi kriteria sertai BRICS

Malaysia penuhi kriteria sertai BRICS

ALEXEY Overchuk pada sidang akhbar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Russia menyatakan keterbukaannya terhadap potensi penyertaan Malaysia dalam BRICS dan menegaskan blok ekonomi itu membina hubungan berdasarkan prinsip saling menghormati dan konsensus antara negara anggota.

Timbalan Perdana Menterinya, Alexey Overchuk berkata, BRICS merupakan platform kerjasama menghimpunkan negara-negara yang berkongsi pandangan tentang isu global serta komited terhadap pendekatan bersama dalam menangani cabaran strategik dunia moden.

“Tiada siapa memaksa sesiapa dalam BRICS. Setiap keputusan dibuat berdasarkan konsensus dan semua negara anggota menghormati kedaulatan masing-masing,” katanya pada sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Russia melihat Malaysia sebagai negara yang memenuhi kriteria untuk bekerjasama dengan blok ekonomi tersebut selaras dengan nilai dan matlamat BRICS.

Bagaimanapun, Overchuk menegaskan potensi penyertaan Malaysia dalam BRICS masih perlu dibincangkan.

Terdahulu, Brazil menyatakan sokongan penuh terhadap Malaysia untuk menjadi negara anggota penuh Kumpulan Ekonomi BRICS di bawah kepengerusian negara itu.

Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva berkata, walaupun Malaysia kini merupakan negara rakan BRICS, Brazil komited untuk menyokong kemasukan Malaysia sebagai ahli penuh dalam blok ekonomi berpengaruh itu.

Di bawah kepimpinan Brazil, BRICS memberi tumpuan kepada enam bidang keutamaan iaitu kesihatan global, perdagangan, pelaburan dan kewangan, perubahan iklim, kecerdasan buatan, pembaharuan sistem pelbagai hala keamanan dan keselamatan dan pembangunan institusi BRICS.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×