Keperluan mendesak ASEAN banteras jenayah siber rentas sempadan - Utusan Malaysia

Keperluan mendesak ASEAN banteras jenayah siber rentas sempadan

ANTONIO GUTERRES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN perlu segera memperkukuh kerjasama dalam menangani jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan pemerdagangan siber dan kegiatan penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di rantau ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, jenayah siber kini muncul sebagai salah satu ancaman keselamatan paling serius di Asia Tenggara.

“Perkara itu berlaku kerana melibatkan jaringan antarabangsa yang kompleks serta memberi kesan besar kepada ekonomi dan keselamatan awam.

“Kita mesti segera menangani jenayah rentas sempadan terutama melibatkan pemerdagangan siber dan pusat penipuan dalam talian yang telah memerangkap ribuan mangsa di seluruh rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada upacara pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN–Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-15 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Guterres berkata, Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) akan terus bekerjasama rapat dengan ASEAN bagi memperkukuh kapasiti agensi penguat kuasa undang-undang, mempertingkatkan perkongsian maklumat serta membangunkan strategi bersama dalam membanteras jenayah digital.

“Sokongan itu termasuk latihan teknikal, pembangunan sistem pemantauan dan inisiatif serantau bagi mengekang penyebaran pusat penipuan dalam talian yang turut dikaitkan dengan eksploitasi manusia dan pemerdagangan rentas negara.

“Jenayah siber bukan sekadar isu keselamatan digital, tetapi turut menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap ekonomi serantau serta kestabilan sosial. Justeru, ASEAN perlu bergerak seiring untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman ini,” katanya.

Mengulas keselamatan di Laut China Selatan, beliau berkata, kawalan keselamatan di perairan itu perlu diperkukuh bagi mencegah sebarang insiden, mengurangkan risiko konflik serta mengekalkan kebebasan pelayaran dan penerbangan mengikut undang-undang antarabangsa.

Katanya, kepentingan mematuhi Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) merupakan asas kepada kestabilan serantau dan keselamatan maritim global.

“Laut China Selatan merupakan laluan perdagangan strategik yang kritikal kepada rantau Asia Tenggara dan dunia, di mana sebarang ketegangan boleh memberi impak serius terhadap ekonomi dan keselamatan negara anggota ASEAN.

“Adalah penting untuk mencegah sebarang insiden yang berpotensi mencetuskan konflik, mengurangkan risiko ketegangan, serta memastikan kebebasan pelayaran dan penerbangan dijamin sepenuhnya selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Guterres turut menyeru semua negara berkepentingan agar bekerjasama secara konstruktif dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di perairan strategik ini.

“Kepatuhan kepada UNCLOS bukan sahaja melindungi hak dan kedaulatan negara anggota, tetapi juga mengukuhkan kepercayaan antarabangsa dan mengurangkan kemungkinan berlakunya konflik bersenjata di rantau Asia Tenggara.

“Usaha bersama ASEAN dan PBB dalam memastikan keselamatan maritim akan menjadi contoh bagaimana diplomasi dan kerjasama antarabangsa dapat mengekalkan keamanan serta menggalakkan pembangunan ekonomi serantau yang mampan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN