Kerja baik pulih parit Fort Cornwallis siap Julai

Kerja baik pulih parit Fort Cornwallis siap Julai

CHOW Kon Yeow (berbaju putih) bersama beberapa Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pegawai yang berkenaan ketika mengadakan lawatan kerja ke Fort Cornwallis di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerja-kerja membaik pulih kawasan parit di sekeliling tapak warisan bersejarah Fort Cornwallis yang menelan kos RM23.4 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tarikh jangkaan siap itu bertepatan dengan sambutan tahunan Tapak Warisan Dunia bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang jatuh pada bulan yang sama.

“Kerja-kerja pemulihan ini adalah sebahagian daripada siri projek di bawah Program Penambahbaikan Kawasan Utara Persisiran yang telah dimulakan kira-kira lima tahun lalu.

“Projek ini bermula dengan pemulihan Padang Kota, diikuti dengan Taman Inggeris di sebelah Dewan Bandaraya serta pembinaan semula tembok laut.

“Pada masa yang sama, ia turut melibatkan pemulihan taman linear dan penaiktarafan laluan pejalan kaki di sepanjang Jalan Light,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke lokasi itu, semalam.

Tambah beliau, sebahagian daripada pembiayaan untuk projek pemulihan parit itu disumbangkan oleh kerajaan negeri iaitu sebanyak RM15.3 juta manakala baki RM8.1 juta pula dibiayai oleh dua syarikat iaitu Think City dan Yayasan Hasanah melalui perjanjian kerjasama awam-swasta.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Astaka Kota Selera yang dibina semula bagi melengkapkan estetika kubu tersebut dengan menggunakan batu bata yang sepadan dijangka dibuka kepada umum mulai 2 Jun ini.

Katanya, pembukaan semula medan selera bernilai RM4 juta itu menjadikan ruang awam di sekitar kawasan Fort Cornwallis kelihatan lebih menarik dan signifikan.

Difahamkan, seramai 26 penjaja ditempatkan di medan selera berkenaan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terkini itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN