SEPANG: Polis mengesahkan pemandu kereta ‘Axia Merah’ yang tular membawa muatan secara bahaya di Jalan Dengkil-Banting semalam didapati mengalami masalah jiwa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan mendapati, pemandu berusia 59 tahun itu pernah terbabit kemalangan beberapa tahun lalu dan mengalami cedera di kepala.
Beliau berkata, susulan video tular itu, pihaknya bertindak segera mengesan sebelum menemukan kereta itu bersama pemiliknya di Jalan Dengkil – Banting, di sini.
“Kami bertindak mengesan kereta itu susulan satu video tular berdurasi 13 saat yang dimuat naik di Facebook oleh pemilik akaun ‘Sepang Viral’.
“Kereta jenis Perodua Axia dipandu lelaki itu telah ditahan mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, pemandu kenderaan tersebut mempunyai lesen memandu yang sah manakala kenderaan itu pula mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap.
Norhizam berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kes itu dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Sebelum ini, tular mengenai sebuah kereta dipandu dalam keadaan muatan penuh diatas bumbung di sekitar Dengkil di sini semalam, sehingga mencetuskan kebimbagan pengguna jalan raya.
Difahamkan, muatan yang diletakkan secara berlonggok di atas bumbung kereta itu terjatuh ke atas jalan sehingga berlaku kesesakan lalu lintas. – UTUSAN