KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menangguhkan penguatkuasaan Ops Gasak terhadap pengusaha dobi ekoran penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (Mula), Zarina Ismail meminta agar satu sesi libat urus diadakan bersama pemain industri, khususnya persatuan dobi diadakan dan persetujuan dicapai sebelum operasi itu dilaksanakan.
Katanya, pPeralihan kepada penggunaan LPG komersial yang berharga sekitar RM65 hingga RM70 bagi silinder seberat 14 kilogram akan menyebabkan peningkatan kos lebih daripada dua setengah kali ganda berbanding kadar bersubsidi sebelum ini iaitu RM27 hingga RM30.
“Pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berisiko gulung tikar kerana tidak mampu menampung peningkatan kos yang mendadak, selain ia juga memberi impak langsung kepada kos sara hidup pengguna akibat kenaikan kos perkhidmatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini.
Antara yang turut hadir ialah Setiausaha Agung Mula, Mohd Hafizul Razali serta wakil Persatuan Dobi Malaysia (MLA) dan Persatuan Pengusaha Dobi Layan Diri Malaysia (PPDLDM).
Pada 18 April lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kementerian akan melaksanakan Ops Gasak mulai 1 Mei bagi membanteras penyelewengan subsidi gas memasak.
Armizan berkata ketirisan subsidi gas memasak perlu ditangani segera kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan. – UTUSAN