PETALING JAYA: Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sesi 2025/2026 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 16 Jun ini.
IPTA itu termasuk Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma.
Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan berkata, keputusan boleh disemak bermula 16 Jun, pukul 12 tengah hari hingga 25 Jun, pukul 5 petang menerusi pautan rasmi universiti dan aplikasi UPUPocket.
Katanya, bagi pemohon yang tidak berjaya, rayuan boleh dikemukakan melalui UPUOnline (bagi UA) atau https://upu.mohe.gov.my (bagi Politeknik) dalam tempoh 10 hari bermula 16 Jun itu.
“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan MARA BPT kepada yang berjaya mulai 17 Jun 2025 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.
“Rayuan ke Kolej Komuniti dan MARA BPT boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.
Tambah KPT, tawaran tempat bagi sesi tersebut adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian IPTA/MARA BPT adalah tidak dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.
“Sebarang pertanyaan berkenaan dengan permohonan UPUOnline® boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus,” katanya.-UTUSAN