Kemuka tuntutan ganti rugi teladan

Kemuka tuntutan ganti rugi teladan

JURUTERA profesional dan jurutera ukur bangunan membuat pemeriksaan di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights, Selangor. - UTUSAN/AFIERA ZULAIERA MOHD. KHAIRULAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Ganti rugi teladan merupakan antara tuntutan pampasan yang akan dikemukakan mangsa letupan paip gas di Putra Heights di sini, kepada pihak berkaitan.

Peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, tuntutan teladan adalah pampasan tambahan yang dibuat berdasarkan prinsip undang-undang sivil apabila terdapat kecuaian serius yang tidak sepatutnya berlaku, termasuk daripada aspek keselamatan awam.

“Tuntutan ini bukan sekadar nilai ganti rugi biasa, tapi menuntut keadilan atas sesuatu yang tidak seharusnya berlaku sejak awal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Wan Azmir, ketika ini pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada agensi terlibat untuk mengenal pasti punca kejadian dan pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, tindakan undang-undang hanya akan diambil selepas semua laporan lengkap diperoleh, namun jika proses itu terus tertangguh, pihaknya akan mempertimbang untuk memfailkan saman atau menuntut laporan rasmi terlebih dahulu.

“Kita masih menunggu laporan daripada pihak berkuasa. Laporan ini penting untuk kenal pasti sama ada berlaku kecuaian dan siapa yang bertanggungjawab.

“Jika ia terus tertangguh, dua pilihan yang ada adalah sama ada teruskan dengan saman ataupun failkan permohonan rasmi untuk dapatkan laporan siasatan,” katanya.

Jelasnya, pihak guaman yang mewakili mangsa kini dalam fasa mengumpul dokumen, bukti serta menjalankan proses pengiraan kerosakan dengan bantuan jurutera profesional dan pakar teknikal yang dilantik secara bebas.

Katanya, walaupun jumlah penduduk yang terkesan dianggarkan melebihi 600 orang, hanya sekitar 200 mangsa tampil mendapatkan khidmat guaman dan penilaian kerosakan.

“Pasukan kami buka peluang sehingga hujung bulan ini untuk mereka yang masih belum tampil. Selepas itu, kami akan mulakan tindakan susulan berdasarkan maklumat yang telah dikumpul,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang terlibat perlu memahami perbezaan antara pampasan dan sumbangan, kerana sumbangan bersifat bantuan sementara, manakala pampasan adalah hak yang boleh dituntut secara sah atas kerugian sebenar dialami. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN